Saturday, August 10, 2013

Raya Sakan Menyesal Sakan

ALHAMDULILLAH setelah sekian lama penulis tidak dapat mengemaskini blog ini kebetulan pada hari ini penulis mempunyai masa terluang jadi penulis gunakan ia untuk mengemaskini blog ini yang sememangnya sudah begitu lama tidak dikemaskini. Penulis akan cuba mengadakan kemaskini yang lebih kerap di masa-masa yang akan datang.

Sempena bulan Syawal yang mulia ini terlebih dahulu penulis ingin ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca Minda Sosial, kemaafan dipohon daripada anda sekiranya penulis ada membuat kesilapan sebelum-sebelum ini marilah kita tutup buku lama dan buka buku baru agar dapat kita meneruskan kehidupan yang lebih sempurna. 

Hari ini penulis ingin bercakap mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, penulis percaya umum dah mengetahui bahawa Hari Raya Aidilfitri merupakan hari untuk meraikan kemenangan kita berjuang berperang dengan nafsu di bulan Ramadhan yang lalu, jadi sememangnya kita patut merayakanya dengan kesederhanaan. 

Besemperna dengan bulan Syawal ini sudah tentu umat-umat Islam di negara kita merayakanya dengan begitu bersungguh-sungguh sehinggakan ada mereka yang sanggup berlebih-lebihan di dalam menyambut Aidilfitri dan tidak keterlaluan ada yang sanggup meminjam dengan Along untuk beraya sakan secara tidak langsung perbuatan mereka ini seolah-olah mengundang padah kerana risikonya amatlah tinggi sekiranya kita membuat pinjaman dengan along. 


Hari raya Aidilfitri bukanlah hari untuk kita menunjuk-nunjuk dan berlumba-lumba dengan jiran-jiran untuk memperlihatkan sambutan hari raya di rumah mana yang paling meriah dan paling 'grand'. Malah perbuatan ini sememangnya ditegah oleh Allah s.w.t. 

"Ukurlah baju di badan sendiri" sememangnya ia amat sesuai sebagai panduan kepada kita untuk menyambut Aidilfitri maksudnya di sini di dalam kita menyambut Aidilfitri janganlah sampai melampaui kemampuan kita sehingga sanggup membuat pinjaman dengan Along. Jika kita membuat pinjaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini bermakna kita sudah berbelanja di luar kemampuan kita kelak kita juga yang sengsara. 

Janganlah pula dek kerana kita nak beraya sakan di akhir nanti kita baru nak menyesal sakan. Adalah lebih elok kita menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan. Wassatiyyah sememangnya di tuntut oleh agama kita, ingatlah agama adalah panduan hidup kita yang amat berguna. 

Kalau kita bercakap mengenai raya adalah tidak sah kalau kita tidak bercakap mengenai duit raya. Ramai kanak-kanak di luar sana mendefinasikan 'duit raya' sebagai satu kewajipan setiap kali Aidilfitri datang, walaupun sebenarnya ia asalnya satu pemberian ikhlas atau sadaqah untuk mereka. Senario yang kita dapat lihat hari ini kebanyakkan kanak-kanak bertandang ke rumah untuk beraya semata-mata hanya untuk mendapatkan duit raya. Bagi kanak-kanak duit raya adalah wajib.

Penulis tidak menyalahkan kanak-kanak dalam hal ini kerana mereka masih belum dapat berfikir secara matang sepertimana orang dewasa. Jadi di sini, menjadi tugas ibu-bapa di dalam mendidik anaknya agar dapat mengikis pemikiran mereka di mana setiap kali datang beraya duit raya adalah wajib. Mereka perlu didik agar mereka sedar bahawa duit raya bukanlah satu kewajipan ia tak lebih kepada amalan bersedekah kesinambungan daripada bulan Ramadhan yang lalu. 

Akhir kalam, janganlah kita menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai beban kepada kita, dan mungkinkan ia menjadi satu perayaan yang meriah tetapi dengan kesederhanaan agar di kemudian hari kita tidak akan menyesal sakan. 

0 comments:

Post a Comment