Thursday, March 10, 2011

Ugut Bunuh Cikgu Apa Puncanya????


UGUT BUNUH Cikgu mungkin inilah tandanya tugas sebagai seorang guru ataupun cikgu semakin mencabar selepas zaman sudah berubah dunia sudah moden ini. Bagi mereka yang masih belum mengetahui tentang berita pelajar yang telah mengugut untuk membunuh cikgunya bolehlah membaca Laporan Harian Metro.

Itulah realitinya sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar tabloid tersebut. Tambah menarik lagi apabila pelajar yang bertindak ala samseng tersebut adalah kerana disebabkan berang dengan tindakan cikgu tersebut yang mengarahkan beliau membaca buku teks tersebut. Kita tinggalkan laporan Harian Metro tersebut kita tumpukan kepada matlamat sebenar artikel ini iaitu untuk mencari Apakah puncanya berlaku Pelajar yang berani Ugut untuk membunuh cikgu.

Berdasarkan kajian penulis di dalam kajian-kajian yang lepas. Pelajar-pelajar sekolah yang bermasalah akan terus bertambah lagi masalahnya terutamanya kebelakangan ini kalau kita lihat kebanyakkan ibu-bapa lebih menyebelahi anak mereka berbanding guru-guru. Inilah faktor utama yang menjadikan pelajar-pelajar sekolah berani bertindak demikian.

Oleh kerana ibu-bapa terlampau manjakan anak dan sentiasa menyebelahi anak tanpa usul periksa, ia akan timbul satu fikiran di kalangan pelajar yang sekiranya dia atau mereka melakukan apa-apa sahaja kesalahan ibu dan bapa mereka akan menyebelahi mereka oleh yang demikian mereka berani untuk berbuat apa sahaja termasuk ugut untuk membunuh cikgunya sendiri.

Situasi zaman sekarang berbeza dengan situasi zaman persekolahan zaman dulu-dulu. Saya masih ingat semasa waktu di bangku sekolah dulu kalau kita cakap dekat ibu dan bapa kita cikgu merotan mereka, bukan mereka menyebelahi kita sebaliknya dia tambahkan pula bilangan rotan tersebut. Namun dengan cara mereka itu menyebabkan tiada yang berani melawan cikgu sama telah lagi untuk ugut untuk bunuh cikgu.

Oleh yang demikian, nasihat saya kepada ibu dan bapa di luar sana agar mereka janganlah sesekali menyebelahi anak-anak mereka itu sudah mencukupi, tak perlu buat sepertimana dulu-dulu yang menambah bilangan rotan itu.

Ibu-bapa juga perlu memantau anak-anak mereka, paling bagus lagi sekiranya ibu dan bapa cuba berkawan dengan anak-anak mereka. Dalam erti kata lain, biar hubungan ibu-bapa dan anak-anak bagai kawan-kawan kerana ini mudah bagi ibu bapa untuk menasihati anak-anak mereka.

Inilah antara panduan-panduan yang berguna buat ibu-bapa bagi memastikan perkara seperti ini tidak terjadi lagi di kemudian hari. Fikir-fikirkanlah demi masa depan anak-anak anda juga yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
Readmore »

Sunday, December 19, 2010

Aksi Panas Budak Terlampau..Apa Puncanya???


BARU-BARU ini negara kita dikejutkan oleh satu berita yang telah disiarkan oleh sebuah akhbar tabloid tempatan yakni Harian Metro. Berita itu bertajuk "Budak Terlampau". Berita tersebut adalah mengenai pendedahan satu video klip yang tersebar luas di Perak iaitu video klip Aksi Panas budak lelaki yang boleh dikategorikan sebagai masih mentah dan pasanganya seorang remaja perempuan yang dianggarkan berumur antara 13-14 tahun.

Mungkin mendengar berita ini akan merasakan tidak logik perkara sedemikian boleh berlaku. Namun, di dalam dunia di akhir zaman ini macam-macam perkara yang mustahil belaku pasti belaku. Itulah kata orang 'kiamat sudah dekat'.

Mari bersama-sama kita membuat sedikit kajian mengenai mengapa kanak-kanak yang masih mentah sudah tahu membuat hubungan seks luar nikah tersebut. Mari kita kaji satu persatu dan bersama-sama kita bahaskan mengenainya.

Pertama sekali, kanak-kanak zaman sekarang mudah terdedah dengan gejala-gejala sosial ditambah pula kehadiran teknologi yang serba canggih seperti komputer dan internet. Pendedahan yang terlampau teknologi terhadap kanak-kanak terutamanya tanpa pengawasan ibu-bapa atau penjaga merupakan salah satu sebab mengapa perbuatan terkutuk itu mampu dilakukkan oleh kanak-kanak hingusan.

Keduanya, pendedahan persekitaran yang amat negatif dari segi sosialnya terhadap kanak-kanak merupakan salah satu punca mengapa kanak-kanak tergamak melakukan perkara terkutuk demikian. Sebagai contoh, kanak-kanak adalah seorang yang akan belajar daripada apa yang mereka lihat, jadi sekiranya persekitaran mereka dapat lihat perbuatan terkutuk itu sekaligus mereka terasa ingin mencuba perbuatan tersebut.

Ketiganya, ialah ibu-bapa dan keluarga yang kurang memberi pendedahan Agama kepada anak-anak mereka menjadi salah satu punca mengapa perbuatan yang terkutuk itu mampu dilakukan oleh kanak-kanak hingusan seperti mereka.

Sebenarnya, perkara sedemikian boleh diatasi sekiranya keluarga dan masyarakat sering tolong-menolong, nasihat menasihati antara satu sama lain. Terutamanya peranan ibu-bapa dan penjaga perlu memainkan peranan yang lebih penting bagi membendung gejala sosial yang semakin hari semakin menjadi-jadi ini.
Readmore »

Thursday, October 14, 2010

SEKS LUAR NIKAH..Apa Puncanya???


KALI INI segmen Wacana Bicara Sosial Minda Sosial ingin membincangkan satu topik yang agak panas dan yang sememangnya panas. Kalau bercakap pasal seks penulis percaya ramai yang suka bercakap mengenainya kerana ia sudah menjadi lumrah manusia kerana dalam manusia adanya nafsu jadi tak hairanlah kalau perkataan 'seks' menjadi antara top search di dalam kebanyakkan enjin carian internet.

Seks luar nikah atau seks sebelum nikah dan juga boleh dipanggil sebagai Zina. Sememangnya keinginan seks ada setiap manusia kerana keinginan seks adalah fitrah manusia. Namun, apabila seks dilakukan dengan cara-cara yang bertentangan dengan Agama Islam, undang-undang negara dan juga penulis percaya agama-agama lain juga menentang perbuatan seks sebelum kahwin ini.

Hari ini penulis ingin membincangkan secara ilmiah berkenaan dengan Seks Luar Nikah dan bersesuainlah pada tajuk artikel segmen Wacana Bicara Sosial Minda Sosial pada hari ini iaitu "Seks Luar Nikah...Apa Puncanya???".

Penyertaan pembaca di dalam perbincangan ilmiah ini adalah dialu-alukan dengan memberikan komen dengan hujah-hujah mereka. Walaubagaimanapun penulis meminta agar komen biarlah betul-betul ilmiah dan tidak berbaur emosional bagi menunjukkan kita sudah matang dan mempunyai pemikiran kelas pertama.

Marilah bersama-sama kita membincangkan, apakah puncanya yang membawa kepada terjadinya seks luar nikah atau juga dipanggil seks bebas ini. Pertama sekali, berpandukan kaji selidik yang penulis lakukan baru-baru ini kebanyakkan mereka-mereka yang terjebak kepada seks luar nikah ini kurang dari segi didikan agamanya ditambah pula dengan ibu-bapa mereka yang juga kurang pengetahuan agamanya dan ia akan menyebabkan mereka berdua gagal untuk memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka.

Faktor kedua, pelaku seks luar nikah ini 'mewarisinya' dari keluarga mereka contohnya ibu dan ayah, abang dan kakak yang sepatutnya menjadi role model untuk memberikan contoh baik terhadap anak-anak dan adik-adik mereka. Kajian menunjukkan 25% daripa pelaku seks luar nikah datangnya dari keluarga yang biasa dengan seks luar nikah, pendek kata seks luar nikah sudah menjadi kewajipan bagi keluarga mereka walaupun ianya haram di sisi agama.

Faktor ketiga, keluarga yang bermasalah seperti di dalam sesebuah keluarga itu berlaku penceraian, konflik keluarga, serta poligami secara tidak adil. Kajian menunjukkan 30% daripada pelaku seks luar nikah datangnya daripada keluarga yang bermasalah.

Faktor keempat, pengaruh media-media masa seperti Televisyen, VCD, DVD, internet dan telefon mudah alif atau telefon selular. Di samping, cerita-cerita lucah yang mudah didapati dipasaran menjadi punca seseorang itu melakukan seks luar nikah. Kajian menunjukkan 15% daripada pelaku seks luar nikah datangnya daripada mereka yang suka menonton, membaca cerita lucah.

Faktor kelima, pengaruh daripada rakan-rakan tidak kiralah yang sebaya atau tidak sebaya. Apabila mereka melihat rakan mereka membuat seks luar nikah membuatkan 'rasa ingin mencuba' membuak-buak dalam diri mereka, jadi dia akan memilih untuk turut membuat 'seks luar nikah'. Mengikut kajian 10% pelaku seks luar nikah berasal dari golongan ini.

Faktor keenam pula ialah kegagalan seseorang individu membezakan 'cinta sejati' dengan 'cinta seks' ini menyebabkan mereka terjebak ke lembah yang hina kerana sanggup berkorban demi cinta sejati sedangkan pasangan bukanlah mencintainya dengan sejati tetapi hanya mencintai nikmat seks yang diperolehi. Mengikut kajian 20% daripada pelaku seks luar nikah datangnya daripada golongan ini.
Enhanced by Zemanta
Readmore »

Thursday, October 7, 2010

Pelajar Kecewa Dengan Kegagalan


MINDA SOSIAL telah menerima satu kiriman email yang dihantarkan kepada alamat email kami di yiemega[at]gmail.com (gantikan [at] dengan @ semasa menghantar email bagi mengelakkan aktiviti spam di email kami). Email ini datangnya dari Mohd Yusri Othman yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Email beliau bertajuk "Pelajar Yang Kecewa Dengan Kegagalan". Di bawah ini adalah kandungan email beliau.

Tuan Kaunselor,

Pelajar Yang Kecewa Dengan Kegagalan

Saya Mohd Yusri Othman merupakan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah dalam daerah Kota Bharu yang saya rasa patut saya rahsiakan nama sekolah berkenaan kerana apa yang penting dapatlah tuan kaunselor membantu membimbing saya untuk menyelesaikan satu masalah yang melanda diri saya.

Sewaktu saya menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lepas yakni tahun 2009, apa yang mengecewakan saya apabila apabila keputusan PMR diumumkan hampir separuh dari lapan subjek yang saya ambil gagal, sedangkan saya selalu menelaah pelajaran dan juga mengulangkaji pelajaran serta menumpukan perhatian semasa guru menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) tapi apabila melihat keputusan yang saya perolehi, saya benar-benar kecewa.

Saya rasa dah putus asa, untuk pengetahuan tuan kaunselor saya belajar dengan sudah tidak bersungguh-sungguh lagi semasa berada di tingkatan empat kerana kekecewaan yang saya dapat semasa PMR masih belum pudar lagi. Dapatkah tuan kaunselor membimbing saya untuk menyelesaikan masalah ini.


Komen Kaunselor:

Assalamulaikum dan terima kasih Kaunselor ucapkan kepada Yusri kerana sudi berkongsi dengan kaunselor berkenaan dengan masalah yang Yusri alami. Mungkin kecewa dengan keputusan peperiksaan adalah perkara biasa yang terpaksa dihadapi oleh kebanyakkan pelajar-pelajar sekolah dewasa ini.

Dalam kes Yusri, kelihatan Yusri begitu kecewa dengan kegagalan, sehinggakan menjadikan alasan kegagalan sebelum ini untuk tidak belajar dengan bersungguh-sungguh. Yusri, sebenarnya bukan begitu caranya, Kaunselor telah terangkan sebelum ini sila rujuk balik artikel "Kegagalan Menjana Kejayaan". Di sana, kauselor telah terangkan segala-galanya tentang kegagalan.

Yusri sebenarnya tidak boleh menjadikan alasan kegagalan sebelum ini untuk tidak belajar bersungguh-sungguh. Perlu ingat Kegagalan adalah guru paling berguna dalam kehidupan Yusri dan gagal sekali bukan bererti gagal untuk selamanya.

Adalah lebih elok Yusri melipatgandakan usaha-usaha untuk menimba ilmu bagi memastikan episod kegagalan Yusri semasa PMR tidak berulang semasa Yusri mengambil peperiksaan SPM nanti. Cuba positifkan pemikiran Yusri agar menerima kegagalan sebelum ini sebagai pembakar semangat untuk berjaya di dalam SPM.

Amal ibadat jangan dilupakan, jagalah hati dan perasaan ibu dan bapa Yusri kerana doa mereka terutamanya Ibu akan dimakbulkan tuhan. Jangan menderhaka kepada mereka, kerana mereka banyak jasanya kepada kita. Diharap ini dapat membimbing Yusri untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh Yusri itu.



Enhanced by Zemanta
Readmore »

Tuesday, September 28, 2010

Anda Adalah Pemenang !

ANDA adalah pemenang menjadi tajuk perbincangan kita pada hari ini melalui segmen Wacana Motivasi Diri Minda Sosial pada kali ini. Mungkin ramai di kalangan kita di luar sana itu akan kecewa apabila bertemu dengan kegagalan. Hasil daripada kecewa dengan kegagalan yang dialami diri maka keluarlah perkataan-perkataan yang merendahkan keupayaan diri mereka sendiri.

Jangan salah anggap mengenai apa yang kita panggil kegagalan. Anda tidak perlu kecewa dengan kegagalan. Anda perlu ingat bahawa Anda sebenarnya seorang pemenang dan juga seorang juara. Berfikirlah secara positif di dalam menghadapi kegagalan. Adakah anda tidak percaya jika saya katakan anda seorang pemenang?

Memang sebenar-benarnya anda seorang pemenang, kalau anda bukan seorang pemenang anda tidak akan lahir ke dunia yang fana ini. Dari jutaan sperma yang saling bersaing antara satu sama lain, akhirnya dimenangi oleh sperma yang membawa benih anda. Jadi inilah yang dikatakan anda seorang pemenang.

Anda perlu ingat bahawa, kegagalan adalah guru yang paling berguna dalam kehidupan manusia di dalam usaha-usaha kita untuk mengejar kejayaan. Kegagalan sebenarnya sebagai salah satu anak tangga untuk menuju pintu kejayaan.

Usahlah kecewa dengan kegagalan yang anda alami kerana anda adalah seorang pemenang. Seorang pemenang akan terus berusaha untuk menang tanpa menghiraukan onak, duri dan ranjau yang perlu dilalui untuk menggamit kejayaan.

Ramai orang yang berjaya pada hari ini bukan terus berjaya malah kebanyakkan daripada mereka bermula daripada kegagalan. Bersihkan minda anda daripada pemikiran yang negatif mengenai kegagalan, binalah kekuatan dalaman diri yang lebih sempurna dengan berfikiran yang lebih positif dan juga terbuka,

Ingatlah "Kegagalan bukan bererti kita gagal untuk selama-lamanya, kejayaan bukan bererti kita berjaya untuk selama-lamanya" fikir-fikirkanlah dengan hati yang terbuka demi menjana kejayaan untuk diri anda sendiri.

Anda perlu bangga dengan diri anda sendiri, tapi bukanya membangga diri, bangga untuk dijadikan motivasi padi diri anda sendiri dan bukanya bangga dengan sikap yang bongkak dan takbur kerana kita hidup ini tidak menongkat langit.

Hindarlah dari merendah-rendahkan kemampuan kita sendiri kerana ia boleh menganggu-gugat motivasi kendiri yang ada di dalam diri kita. Jangan ada ayat putus asa di dalam kehidupan anda seharian. Tingkatkan usaha, perbanyakkan doa dan ibadat bagi menyempurnakan kejayaan di dalam hidup kita.
Enhanced by Zemanta
Readmore »

Thursday, September 23, 2010

Faktor Pendorong Pelajar Melakukan Kesalahan Disiplin


DISIPLIN merupakan satu komponen terpenting di dalam pendidikan terutamanya ia melibatkan pelajar-pelajar sekolah, tidak kiralah sekolah menengah ataupun sekolah rendah, apa yang penting pelajar yang masih di bangku sekolah. Tidak hairanlah kebanyakkan sekolah ada satu badan yang dipanggil Unit Disiplin ataupun Badan Disiplin, tidak kiralah apa nama yang diberikan tapi fungsi utama badan ini ialah untuk membentuk disiplin pelajar.

Kebiasaanya pelajar yang melakukan kesalahan disiplin akan dihukum oleh unit atau badan disiplin sekolah, malah ada sesetengah sekolah mempunyai mahkamah disiplinya sendiri. Ini membuktikan bahawa disiplin begitu dititik beratkan di dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademiknya malah dari segi akhlaknya juga cemerlang.

Di dalam ketegasan unit disiplin mengambil tindakan, mungkin kita terlepas pandang kepada beberapa perkara yang menjadi faktor pendorong kepada perilaku yang melanggar peraturan disiplin sekolah, yang selama ini kurang diambil berat oleh pihak sekolah.

Tindakan menghukum boleh diibaratkan sebagai hanya mengubat simptom penyakit tetapi tidak puncanya. Menurut beberapa siri kajian yang penulis telah buat punca pelajar melakukan kesalahan disiplin terdiri daripada beberapa faktor:

A. Persekitaran Tempat Tinggal Pelajar

Senario hari ini menyaksikan bahawa kebanyakkan pelajar sekolah, belajar sesuatu perkara daripada apa yang mereka lihat. Ini bermakna mereka secara tidak sengaja akan belajar sesuatu baru daripada apa yang mereka lihat di persekitaran tempat tinggal mereka.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pelajar itu melihat kawan-kawan yang lebih dewasa daripadanya di persekitaran tempat tinggalnya merokok, maka ia pasti mengundang rasa keinginan untuk turut merokok kerana mereka hampir setiap hari disajikan dengan perbuatan itu.

Lazimnya ini berlaku di kawasan-kawasan seperti setinggan, rumah pangsa (flat) kerana kawasan-kawasan seperti ini akan mendedahkan pelajar kepada aktiviti-aktiviti sosial yang bertentangan dengan norma masyarakat.

B. Keluarga

Keluarga juga boleh menjadi faktor pendorong pelajar melakukan kesalahan disiplin. Ini terbukti apabila berdasarkan kajian yang telah penulis buat 90% pelajar yang melakukan kesalahan disiplin mempunyai masalah keluarga atau dengan kata lain keluarga mereka bermasalah.

Contohnya ibu dan ayah mereka bercerai, sering bergaduh dan ayah mereka berkahwin lebih daripada satu dan gagal berlaku adil. Di dalam mengharungi masalah-masalah ini, akhirnya jiwa mereka memberontak dan mereka akan cuba memaparkan pemberontakkan mereka dalam bentung pelanggaran undang-undang disiplin sekolah.

Bagi ibu dan ayah mereka bercerai, ternyata mereka tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya dan akibatnya jiwa mereka sentiasa ingin memberontak, jadi mereka memilih untuk melanggar peraturan disiplin agar mereka mendapat perhatian.

C. Kawan/Sahabat Handai

5% Daripada pelajar yang melakukan kesalahan disiplin didorong oleh kawan atau sahabat handai, ini adalah kerana mereka akan lebih selesa berkongsi sesuatu dengan rakan mereka berbanding dengan keluarga mereka sendiri.

Jadi tidak hairanlah, sekiranya pelajar akan terpengaruh dengan hasutan dan godaan daripada kawan atau sahabat mereka. Contohnya seperti merokok, sebab itu ada pelajar yang mula merokok disebabkan pengaruh rakan.

D. Guru Sekolah

Pelajar zaman sekarang sudah berbeza dengan pelajar sekolah di zaman yang lepas, cara pemikiran mereka berbeza, mengendalikan mereka lebih baik menggunakan pendekatan psikologi berbanding pendekatan kekerasan. Tidak sama dengan pelajar dulu yang kebanyakkan belajar dengan pendedekatan kekerasan yang diberikan oleh guru termasuk jugalah penulis.

Moral seorang guru juga diambil kira oleh pelajar sekolah zaman kini, satu fakta yang belum diketahui ialah 80% pelajar ponteng kelas dan sekolah disebabkan oleh guru sekolah itu sendiri, lazimnya guru tersebut gagal menunjukkan moral yang baik sebagai seorang guru contohnya semasa P&P seseorang guru itu kerap menyumpah seranah pelajar, ini menyebabkan pelajar tertekan dan mengambil keputusan untuk ponteng kelas ataupun sekolah.

Berdasarkan faktor-faktor yang penulis tonjolkan di atas, marilah bersama-sama kita bermuhasabah diri dan memikirkan jalan terbaik di dalam menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah. Fikir-fikirkanlah.
Enhanced by Zemanta
Readmore »

Monday, September 13, 2010

KEGAGALAN MENJANA KEJAYAAN


KEGAGALAN mungkin ramai yang pernah melalui apa yang kita katakan sebagai keGAGALan. Ada sesetengah individu mampu mengharungi kegagalan dan ada juga yang cuba bangkit dari keGAGALan untuk menjana kejayaan. Tak kurang juga ada yang cepat berputus asa di dalam menghadapi kegagalan lantas menyalahkan sebab-sebab tertentu termasuk takdir dan lain-lain.

Bersesuaian dengan tajuk Motivasi Diri kita hari ini iaitu "Kegagalan Menjana Kejayaan" jadi artikel kita pada kali ini akan membincangkan berkenaan apa itu "Kegagalan Menjana Kejayaan. Semoga artikel ini memberi sumbangan yang berguna buat pembaca dan pencari Ilmu di blog Minda Sosial ini.

Sebenarnya, kita sepatutnya menerima kenyataan setiap kali kita menemui kegagalan. Tabahkan hati, tingkatkan semangat dan gandakan usaha untuk memperbaiki langkah-langkah kita di dalam mendaki tangga-tangga kejayaan.

Janganlah menyalahkan sesiapa sekiranya kita dilanda kegagalan kerana mengikut kajian 80% daripada kegagalan adalah berpunca daripada diri anda sendiri. Cuba kita lihat kebanyakkan usahawan-usahawan yang berjaya pada hari ini mereka bermula daripada kegagalan, malah kegagalan jugalah yang memberi pengalaman yang begitu penting bagi seorang usahawan untuk mengharungi liku-liku dan selok-belok perniagaan.

Begitu juga dengan individu di karier yang lain seperti pelajar, mungkin hari ini mereka gagal tetapi ia bukan bererti kita gagal untuk selama-lamanya. Seorang yang cekal akan sentiasa berusaha untuk mengeluarkan dirinya dari dunia kegagalan dan bukanya hanya dengan meratapi kegagalan tanpa ada satu pun tindakan drastik untuk menjana kejayaan.

Di dalam era serba canggih dan serba moden ini, juga merupakan era globasisasi kita hendaklah berani untuk gagal, jika kita tidak berani untuk gagal buat selama-lamanya kita akan takut untuk gagal kerana kita menyangka gagal adalah satu perkara yang teruk.

Ayuh sedarlah dari lena, kegagalan akan menjana kejayaan anda sekiranya anda benar-benar berjuang untuk membebaskan diri dari kegagalan nescaya kejayaan akan berjaya dijana oleh anda. Janganlah terleka lagi, gandakan usaha, tingkatkan prestasi, positifkan pemikiran anda.
Readmore »