Showing posts with label Sosial. Show all posts
Showing posts with label Sosial. Show all posts

Friday, July 7, 2017

Eramin 5 Khayal Yang Akan Membawa Sengsara

REMAJA kita dewasa ini semakin suka berhibur, berparti dan bersosial tak kira waktu, tak kira tempat dan tidak kira depan sesiapa pun. Apa yang mereka tahu adalah mereka hidup untuk "Enjoy". Oleh yang demikian ramai remaja-remaja kita yang sukakan parti tari menari, clubbing dan paling menyedihkan ada yang menggunakan bahan terlarang untuk 'Enjoy'.

Eramin 5 adalah salah satu bahan terlarang yang menjadi pilihan remaja masa kini untuk dijadikan 'penambah tenaga' untuk mereka 'Enjoy' dengan muzik. Mereka lebih suka menari dalam khayal, kerana bagi mereka bila khayalan menjelma maka mereka tanpa segan-silu dapat menari dengan hebat dan mampu mengalahkan penari-penari terkenal seperti Michael Jackson. 

Namun, tanpa mereka sedar perbuatan itu bakal mengundang sengsara buat mereka. Pendek kata Eramin 5

Khayal yang akan membuat anda sengsara. Sebelum kita pergi lebih lanjut lagi adalah lebih kita kenali dulu apakah Eramin 5? 

Eramin 5 ialah salah satu jenis dadah generasi baru yang mula mendapat tempat di kalangan remaja kita dewasa ini. Dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang diertikan ubat-ubatan di dalam Bahasa Inggeris. Penyalahgunaan dadah pula ialah penggunaan dadah untuk tujuan lain dan bukanya untuk ubat-ubatan sepertimana remaja kita pada hari ini yang mengambil pil Eramin 5 untuk mereka 'Enjoy' di dalam berhibur. 

Readmore »

Wednesday, June 28, 2017

Kes Tetak Apa Puncanya?

BARU-baru ini negara kita dikejutkan dengan berita kematian seorang remaja yang ditemui mati dipercayai akibat ditetak. Sebenarnya kes tetak ini bukanlah yang pertama kali berlaku sudah banyak kali sangat ianya berlaku. Kali ini kita tidak mahu membicarakan tentang kes remaja yang ditetak itu tetapi lebih kepada perbincangan ilmiah untuk mencari apa puncanya terjadi kes-kes tetak hingga akhirnya akibatnya nyawa melayang. 

Pada pandangan anda apakah puncanya terjadi kes tetak seperti ini? Mungkin ada yang mendakwa mereka gagal mengawal nafsu amarah sehingga sanggup membuat tindakan yang tidak masuk akal seperti ini. Mungkin betul juga dengan dakwaan ini, namun saya kurang bersetuju dengan dakwaan ini kerana kalau kita betul-betul marah sekalipun kita tidak akan membuat tindakan sedemikian kecuali ada dorongan-dorongan atau pengaruh-pengaruh tertentu yang akan memperngaruhi tindakan kita. 

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sekiranya kita di dalam pengaruh dadah tambahan pula dadah generasi baru seperti Methamphetamine, Eramin 5, Ecstasy dan bermacam-macam lagi dadah generasi baru dan ianya mampu membuatkan kita membuat tindakan luar kawal terutamanya apabila kita sedang marah. Saya ingin tegaskan di sini bahawa apa yang saya katakan di sini tidak ada kaitan dengan kes tetak baru-baru ini apa yang saya ingin bincangkan di sini hanyalah dari sudut psikologi kenapa tindakan luar kawal seumpama ini boleh berlaku. Jadi penggunaan bahan-bahan terlarang seperti ini mungkin menjadi salah satu penyebab kepada berlakunya kes seperti ini.

Pengaruh rakan juga pada pandangan saya turut menjadi punca terjadinya kes seperti ini, rakan-rakan yang menjadi 'batu api' akan menaikkan lagi tahap kemarahan kita sewaktu kita berada di dalam keadaan marah, pendek kata kita sudah marah dan di api-apikan pula oleh rakan yang suka menjadi 'batu api'. Selain itu, kehadiran rakan-rakan yang ramai juga mampu mempengaruhi tindakan kita, kita menjadi semakin berani di dalam membuat tindakan tidak masuk akal termasuklah membunuh.
Readmore »

Thursday, March 10, 2011

Ugut Bunuh Cikgu Apa Puncanya????


UGUT BUNUH Cikgu mungkin inilah tandanya tugas sebagai seorang guru ataupun cikgu semakin mencabar selepas zaman sudah berubah dunia sudah moden ini. Bagi mereka yang masih belum mengetahui tentang berita pelajar yang telah mengugut untuk membunuh cikgunya bolehlah membaca Laporan Harian Metro.

Itulah realitinya sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar tabloid tersebut. Tambah menarik lagi apabila pelajar yang bertindak ala samseng tersebut adalah kerana disebabkan berang dengan tindakan cikgu tersebut yang mengarahkan beliau membaca buku teks tersebut. Kita tinggalkan laporan Harian Metro tersebut kita tumpukan kepada matlamat sebenar artikel ini iaitu untuk mencari Apakah puncanya berlaku Pelajar yang berani Ugut untuk membunuh cikgu.

Berdasarkan kajian penulis di dalam kajian-kajian yang lepas. Pelajar-pelajar sekolah yang bermasalah akan terus bertambah lagi masalahnya terutamanya kebelakangan ini kalau kita lihat kebanyakkan ibu-bapa lebih menyebelahi anak mereka berbanding guru-guru. Inilah faktor utama yang menjadikan pelajar-pelajar sekolah berani bertindak demikian.

Oleh kerana ibu-bapa terlampau manjakan anak dan sentiasa menyebelahi anak tanpa usul periksa, ia akan timbul satu fikiran di kalangan pelajar yang sekiranya dia atau mereka melakukan apa-apa sahaja kesalahan ibu dan bapa mereka akan menyebelahi mereka oleh yang demikian mereka berani untuk berbuat apa sahaja termasuk ugut untuk membunuh cikgunya sendiri.

Situasi zaman sekarang berbeza dengan situasi zaman persekolahan zaman dulu-dulu. Saya masih ingat semasa waktu di bangku sekolah dulu kalau kita cakap dekat ibu dan bapa kita cikgu merotan mereka, bukan mereka menyebelahi kita sebaliknya dia tambahkan pula bilangan rotan tersebut. Namun dengan cara mereka itu menyebabkan tiada yang berani melawan cikgu sama telah lagi untuk ugut untuk bunuh cikgu.

Oleh yang demikian, nasihat saya kepada ibu dan bapa di luar sana agar mereka janganlah sesekali menyebelahi anak-anak mereka itu sudah mencukupi, tak perlu buat sepertimana dulu-dulu yang menambah bilangan rotan itu.

Ibu-bapa juga perlu memantau anak-anak mereka, paling bagus lagi sekiranya ibu dan bapa cuba berkawan dengan anak-anak mereka. Dalam erti kata lain, biar hubungan ibu-bapa dan anak-anak bagai kawan-kawan kerana ini mudah bagi ibu bapa untuk menasihati anak-anak mereka.

Inilah antara panduan-panduan yang berguna buat ibu-bapa bagi memastikan perkara seperti ini tidak terjadi lagi di kemudian hari. Fikir-fikirkanlah demi masa depan anak-anak anda juga yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
Readmore »

Sunday, December 19, 2010

Aksi Panas Budak Terlampau..Apa Puncanya???


BARU-BARU ini negara kita dikejutkan oleh satu berita yang telah disiarkan oleh sebuah akhbar tabloid tempatan yakni Harian Metro. Berita itu bertajuk "Budak Terlampau". Berita tersebut adalah mengenai pendedahan satu video klip yang tersebar luas di Perak iaitu video klip Aksi Panas budak lelaki yang boleh dikategorikan sebagai masih mentah dan pasanganya seorang remaja perempuan yang dianggarkan berumur antara 13-14 tahun.

Mungkin mendengar berita ini akan merasakan tidak logik perkara sedemikian boleh berlaku. Namun, di dalam dunia di akhir zaman ini macam-macam perkara yang mustahil belaku pasti belaku. Itulah kata orang 'kiamat sudah dekat'.

Mari bersama-sama kita membuat sedikit kajian mengenai mengapa kanak-kanak yang masih mentah sudah tahu membuat hubungan seks luar nikah tersebut. Mari kita kaji satu persatu dan bersama-sama kita bahaskan mengenainya.

Pertama sekali, kanak-kanak zaman sekarang mudah terdedah dengan gejala-gejala sosial ditambah pula kehadiran teknologi yang serba canggih seperti komputer dan internet. Pendedahan yang terlampau teknologi terhadap kanak-kanak terutamanya tanpa pengawasan ibu-bapa atau penjaga merupakan salah satu sebab mengapa perbuatan terkutuk itu mampu dilakukkan oleh kanak-kanak hingusan.

Keduanya, pendedahan persekitaran yang amat negatif dari segi sosialnya terhadap kanak-kanak merupakan salah satu punca mengapa kanak-kanak tergamak melakukan perkara terkutuk demikian. Sebagai contoh, kanak-kanak adalah seorang yang akan belajar daripada apa yang mereka lihat, jadi sekiranya persekitaran mereka dapat lihat perbuatan terkutuk itu sekaligus mereka terasa ingin mencuba perbuatan tersebut.

Ketiganya, ialah ibu-bapa dan keluarga yang kurang memberi pendedahan Agama kepada anak-anak mereka menjadi salah satu punca mengapa perbuatan yang terkutuk itu mampu dilakukan oleh kanak-kanak hingusan seperti mereka.

Sebenarnya, perkara sedemikian boleh diatasi sekiranya keluarga dan masyarakat sering tolong-menolong, nasihat menasihati antara satu sama lain. Terutamanya peranan ibu-bapa dan penjaga perlu memainkan peranan yang lebih penting bagi membendung gejala sosial yang semakin hari semakin menjadi-jadi ini.
Readmore »

Thursday, October 14, 2010

SEKS LUAR NIKAH..Apa Puncanya???


KALI INI segmen Wacana Bicara Sosial Minda Sosial ingin membincangkan satu topik yang agak panas dan yang sememangnya panas. Kalau bercakap pasal seks penulis percaya ramai yang suka bercakap mengenainya kerana ia sudah menjadi lumrah manusia kerana dalam manusia adanya nafsu jadi tak hairanlah kalau perkataan 'seks' menjadi antara top search di dalam kebanyakkan enjin carian internet.

Seks luar nikah atau seks sebelum nikah dan juga boleh dipanggil sebagai Zina. Sememangnya keinginan seks ada setiap manusia kerana keinginan seks adalah fitrah manusia. Namun, apabila seks dilakukan dengan cara-cara yang bertentangan dengan Agama Islam, undang-undang negara dan juga penulis percaya agama-agama lain juga menentang perbuatan seks sebelum kahwin ini.

Hari ini penulis ingin membincangkan secara ilmiah berkenaan dengan Seks Luar Nikah dan bersesuainlah pada tajuk artikel segmen Wacana Bicara Sosial Minda Sosial pada hari ini iaitu "Seks Luar Nikah...Apa Puncanya???".

Penyertaan pembaca di dalam perbincangan ilmiah ini adalah dialu-alukan dengan memberikan komen dengan hujah-hujah mereka. Walaubagaimanapun penulis meminta agar komen biarlah betul-betul ilmiah dan tidak berbaur emosional bagi menunjukkan kita sudah matang dan mempunyai pemikiran kelas pertama.

Marilah bersama-sama kita membincangkan, apakah puncanya yang membawa kepada terjadinya seks luar nikah atau juga dipanggil seks bebas ini. Pertama sekali, berpandukan kaji selidik yang penulis lakukan baru-baru ini kebanyakkan mereka-mereka yang terjebak kepada seks luar nikah ini kurang dari segi didikan agamanya ditambah pula dengan ibu-bapa mereka yang juga kurang pengetahuan agamanya dan ia akan menyebabkan mereka berdua gagal untuk memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka.

Faktor kedua, pelaku seks luar nikah ini 'mewarisinya' dari keluarga mereka contohnya ibu dan ayah, abang dan kakak yang sepatutnya menjadi role model untuk memberikan contoh baik terhadap anak-anak dan adik-adik mereka. Kajian menunjukkan 25% daripa pelaku seks luar nikah datangnya dari keluarga yang biasa dengan seks luar nikah, pendek kata seks luar nikah sudah menjadi kewajipan bagi keluarga mereka walaupun ianya haram di sisi agama.

Faktor ketiga, keluarga yang bermasalah seperti di dalam sesebuah keluarga itu berlaku penceraian, konflik keluarga, serta poligami secara tidak adil. Kajian menunjukkan 30% daripada pelaku seks luar nikah datangnya daripada keluarga yang bermasalah.

Faktor keempat, pengaruh media-media masa seperti Televisyen, VCD, DVD, internet dan telefon mudah alif atau telefon selular. Di samping, cerita-cerita lucah yang mudah didapati dipasaran menjadi punca seseorang itu melakukan seks luar nikah. Kajian menunjukkan 15% daripada pelaku seks luar nikah datangnya daripada mereka yang suka menonton, membaca cerita lucah.

Faktor kelima, pengaruh daripada rakan-rakan tidak kiralah yang sebaya atau tidak sebaya. Apabila mereka melihat rakan mereka membuat seks luar nikah membuatkan 'rasa ingin mencuba' membuak-buak dalam diri mereka, jadi dia akan memilih untuk turut membuat 'seks luar nikah'. Mengikut kajian 10% pelaku seks luar nikah berasal dari golongan ini.

Faktor keenam pula ialah kegagalan seseorang individu membezakan 'cinta sejati' dengan 'cinta seks' ini menyebabkan mereka terjebak ke lembah yang hina kerana sanggup berkorban demi cinta sejati sedangkan pasangan bukanlah mencintainya dengan sejati tetapi hanya mencintai nikmat seks yang diperolehi. Mengikut kajian 20% daripada pelaku seks luar nikah datangnya daripada golongan ini.
Enhanced by Zemanta
Readmore »

Thursday, September 23, 2010

Faktor Pendorong Pelajar Melakukan Kesalahan Disiplin


DISIPLIN merupakan satu komponen terpenting di dalam pendidikan terutamanya ia melibatkan pelajar-pelajar sekolah, tidak kiralah sekolah menengah ataupun sekolah rendah, apa yang penting pelajar yang masih di bangku sekolah. Tidak hairanlah kebanyakkan sekolah ada satu badan yang dipanggil Unit Disiplin ataupun Badan Disiplin, tidak kiralah apa nama yang diberikan tapi fungsi utama badan ini ialah untuk membentuk disiplin pelajar.

Kebiasaanya pelajar yang melakukan kesalahan disiplin akan dihukum oleh unit atau badan disiplin sekolah, malah ada sesetengah sekolah mempunyai mahkamah disiplinya sendiri. Ini membuktikan bahawa disiplin begitu dititik beratkan di dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademiknya malah dari segi akhlaknya juga cemerlang.

Di dalam ketegasan unit disiplin mengambil tindakan, mungkin kita terlepas pandang kepada beberapa perkara yang menjadi faktor pendorong kepada perilaku yang melanggar peraturan disiplin sekolah, yang selama ini kurang diambil berat oleh pihak sekolah.

Tindakan menghukum boleh diibaratkan sebagai hanya mengubat simptom penyakit tetapi tidak puncanya. Menurut beberapa siri kajian yang penulis telah buat punca pelajar melakukan kesalahan disiplin terdiri daripada beberapa faktor:

A. Persekitaran Tempat Tinggal Pelajar

Senario hari ini menyaksikan bahawa kebanyakkan pelajar sekolah, belajar sesuatu perkara daripada apa yang mereka lihat. Ini bermakna mereka secara tidak sengaja akan belajar sesuatu baru daripada apa yang mereka lihat di persekitaran tempat tinggal mereka.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pelajar itu melihat kawan-kawan yang lebih dewasa daripadanya di persekitaran tempat tinggalnya merokok, maka ia pasti mengundang rasa keinginan untuk turut merokok kerana mereka hampir setiap hari disajikan dengan perbuatan itu.

Lazimnya ini berlaku di kawasan-kawasan seperti setinggan, rumah pangsa (flat) kerana kawasan-kawasan seperti ini akan mendedahkan pelajar kepada aktiviti-aktiviti sosial yang bertentangan dengan norma masyarakat.

B. Keluarga

Keluarga juga boleh menjadi faktor pendorong pelajar melakukan kesalahan disiplin. Ini terbukti apabila berdasarkan kajian yang telah penulis buat 90% pelajar yang melakukan kesalahan disiplin mempunyai masalah keluarga atau dengan kata lain keluarga mereka bermasalah.

Contohnya ibu dan ayah mereka bercerai, sering bergaduh dan ayah mereka berkahwin lebih daripada satu dan gagal berlaku adil. Di dalam mengharungi masalah-masalah ini, akhirnya jiwa mereka memberontak dan mereka akan cuba memaparkan pemberontakkan mereka dalam bentung pelanggaran undang-undang disiplin sekolah.

Bagi ibu dan ayah mereka bercerai, ternyata mereka tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya dan akibatnya jiwa mereka sentiasa ingin memberontak, jadi mereka memilih untuk melanggar peraturan disiplin agar mereka mendapat perhatian.

C. Kawan/Sahabat Handai

5% Daripada pelajar yang melakukan kesalahan disiplin didorong oleh kawan atau sahabat handai, ini adalah kerana mereka akan lebih selesa berkongsi sesuatu dengan rakan mereka berbanding dengan keluarga mereka sendiri.

Jadi tidak hairanlah, sekiranya pelajar akan terpengaruh dengan hasutan dan godaan daripada kawan atau sahabat mereka. Contohnya seperti merokok, sebab itu ada pelajar yang mula merokok disebabkan pengaruh rakan.

D. Guru Sekolah

Pelajar zaman sekarang sudah berbeza dengan pelajar sekolah di zaman yang lepas, cara pemikiran mereka berbeza, mengendalikan mereka lebih baik menggunakan pendekatan psikologi berbanding pendekatan kekerasan. Tidak sama dengan pelajar dulu yang kebanyakkan belajar dengan pendedekatan kekerasan yang diberikan oleh guru termasuk jugalah penulis.

Moral seorang guru juga diambil kira oleh pelajar sekolah zaman kini, satu fakta yang belum diketahui ialah 80% pelajar ponteng kelas dan sekolah disebabkan oleh guru sekolah itu sendiri, lazimnya guru tersebut gagal menunjukkan moral yang baik sebagai seorang guru contohnya semasa P&P seseorang guru itu kerap menyumpah seranah pelajar, ini menyebabkan pelajar tertekan dan mengambil keputusan untuk ponteng kelas ataupun sekolah.

Berdasarkan faktor-faktor yang penulis tonjolkan di atas, marilah bersama-sama kita bermuhasabah diri dan memikirkan jalan terbaik di dalam menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah. Fikir-fikirkanlah.
Enhanced by Zemanta
Readmore »

Saturday, August 28, 2010

Buang Bayi - Apakah Faktor Pendorongnya?


KEBELAKANGAN ini kita sering disajikan dengan kejadian-kejadian pembuangan bayi di negara kita. Lebih parah lagi kebanyakkan si pembuang bayi itu adalah berasal daripada agama Islam. Di bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan ini juga berlaku kejadian-kejadian tidak berperikemanusiaan tersebut.

Kita sering berdebat mengenai kenapakah terjadi peristiwa tidak berperikemanusiaan itu? Mungkin ramai juga yang akan menunding jari menyalahkan kerajaan berhubung terjadinya kejadian yang penuh tragis ini. Ada juga yang melabel kerajaan ini sekular dan inilah puncanya kenapa kes-kes pembuangan bayi semakin menular. Penulis tidak bersetuju dengan kenyataan ini, kerana ia nampaknya tidak adil jika hanya satu pihak dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan.

Sebenarnya ada banyak faktor pendorong kepada berlakunya kes-kes pembuangan bayi ini. Marilah kita bersama menilaikanya dan juga bermuhasabah diri mengenainya. Bagi penulis ini adalah salah tandanya hilangnya sifat kemanusiaan seorang manusia dan bertambahlah sifat kebinatangan seorang manusia.

Tentu pembaca pernah terdengar ungkapan ini "Binatang pun Sayang Anak" ya memang benar kalau lihat kucing yang memang seekor binatang itu pun tahu menyanyangi anaknya walaupun tidak dikurniakan akal fikiran oleh Allah tuhan seru sekian alam.

Pernahkah kita berfikir sebelum ini, kenapakah terjadinya pembuangan bayi ini? Cuba fikirkan anak itu tidak akan lahir kedunia dengan sendirinya, jadi sudah tentu ada perbuatan yang menjadikan anak yang tidak berdosa itu lahir ke dunia.

Apakah perbuatan itu? ya ianya adalah hubungan seks rambang ataupun bebas yang menjadi kegilaan di kalangan remaja kita pada hari ini. Pernahkah kita lihat seekor binatang membuat seks rambang contohnya seperti kucing, penulis sendiri secara tak sengaja telah melihat seks rambang yang dilakukan oleh kucing, tapi ia adalah kucing dan seekor binatang.

Bukankah perbuatan seks rambang di antara manusia meletakkan manusia sudah sama taraf dengan binatang? atau lebih tepat lagi kalau kita katakan sifat kebinatangan telah mula bertapak di dalam seorang manusia.

Namun, kita juga tidak boleh meletakkan 100% kesalahan kepada si pelaku seks rambang tersebut kerana ada banyak lagi faktor yang menjadikan kes buang bayi di Malaysia semakin parah.

Mari kita teliti satu persatu faktor pendorong kepada kejadian tidak bermoral itu. Pertama sekali keluarga si pelaku, mengikut kajian yang dilakukan kebanyakkan pelaku seks luar nikah berasal dari keluarga yang kurang mengambil berat tentang anaknya seperti tidak mengambil peduli apa yang anak mereka lakukan dan terlalu memanjakan anak mereka.

Sepatutnya keluarga, sebagai yang terdekat dengan mereka perlu memberi bimbingan yang secukupnya terutamanya dari segi bimbingan Agama dan pengetahuan tentang bahana dan bahaya seks rambang perlu diberikan kepada mereka oleh keluarga mereka.

Sikap keluarga yang acuh tidak acuh membimbing ahli keluarga mereka menjadikan faktor utama kenapa berlakunya seks luar nikah dan secara automatisnya berlakulah pembuangan bayi.

Selain daripada itu, Orang Awam juga boleh dikatakan menjadi faktor pendorong kepada terus berlakunya aktiviti tidak bermoral dan berperikemanusiaan ini. Kebanyakkan orang awam ini kurang kesedaran kemasyarakatan dan sering menyalahkan kerajaan jika berlaku perkara seumpama ini, walhal sekiranya mereka terus menyalahkan kerajaan sampai bila pun masalah ini tidak akan selesai.

Penulis juga ingin menegaskan di sini bahawa Cendekiawan Agama juga merupakan salah satu faktor kenapa terjadinya perkara seumpama ini. Ini adalah kerana dewasa ini, kebanyakkan penceramah Agama gagal dalam penyampaian dan pengisian ceramahnya sehinggakan ianya tidak berjaya menarik minat golongan muda remaja untuk mengikutinya.

Sepatutnya sebagai seorang cendekiawan agama beliau haruslah be prepared sebelum membuat sebarang ceramah atau dakwah. Seorang penceramah juga perlulah mengambil kira keperluan setempat dalam memberikan ceramah agama mereka, agar majlis mereka menjadi majlis ilmu.

Keperluan setempat yang dimaksudkan ialah mengaitkan ceramahnya dengan apa yang terjadi di dalam kawasan mukimnya sebagai contoh isu pembuangan bayi ini. Mereka juga perlu menggandakan kajian demi kajian dan mengemukakan hasil kajian di dalam ceramah mereka berhubung isu-isu semasa.

Perlu diingatkan di sini, bukanlah tujuan penulis untuk merendah-rendahkan kredibiliti penceramah-penceramah agama, tetapi sebagai seorang penulis ia telah menjadi tanggungjawab sosial sebagai seorang penulis walaupun penulis bukanlah penceramah agama. Marilah bersama kita fikir-fikirkannya.
Enhanced by Zemanta
Readmore »