Thursday, September 23, 2010

Faktor Pendorong Pelajar Melakukan Kesalahan Disiplin


DISIPLIN merupakan satu komponen terpenting di dalam pendidikan terutamanya ia melibatkan pelajar-pelajar sekolah, tidak kiralah sekolah menengah ataupun sekolah rendah, apa yang penting pelajar yang masih di bangku sekolah. Tidak hairanlah kebanyakkan sekolah ada satu badan yang dipanggil Unit Disiplin ataupun Badan Disiplin, tidak kiralah apa nama yang diberikan tapi fungsi utama badan ini ialah untuk membentuk disiplin pelajar.

Kebiasaanya pelajar yang melakukan kesalahan disiplin akan dihukum oleh unit atau badan disiplin sekolah, malah ada sesetengah sekolah mempunyai mahkamah disiplinya sendiri. Ini membuktikan bahawa disiplin begitu dititik beratkan di dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademiknya malah dari segi akhlaknya juga cemerlang.

Di dalam ketegasan unit disiplin mengambil tindakan, mungkin kita terlepas pandang kepada beberapa perkara yang menjadi faktor pendorong kepada perilaku yang melanggar peraturan disiplin sekolah, yang selama ini kurang diambil berat oleh pihak sekolah.

Tindakan menghukum boleh diibaratkan sebagai hanya mengubat simptom penyakit tetapi tidak puncanya. Menurut beberapa siri kajian yang penulis telah buat punca pelajar melakukan kesalahan disiplin terdiri daripada beberapa faktor:

A. Persekitaran Tempat Tinggal Pelajar

Senario hari ini menyaksikan bahawa kebanyakkan pelajar sekolah, belajar sesuatu perkara daripada apa yang mereka lihat. Ini bermakna mereka secara tidak sengaja akan belajar sesuatu baru daripada apa yang mereka lihat di persekitaran tempat tinggal mereka.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pelajar itu melihat kawan-kawan yang lebih dewasa daripadanya di persekitaran tempat tinggalnya merokok, maka ia pasti mengundang rasa keinginan untuk turut merokok kerana mereka hampir setiap hari disajikan dengan perbuatan itu.

Lazimnya ini berlaku di kawasan-kawasan seperti setinggan, rumah pangsa (flat) kerana kawasan-kawasan seperti ini akan mendedahkan pelajar kepada aktiviti-aktiviti sosial yang bertentangan dengan norma masyarakat.

B. Keluarga

Keluarga juga boleh menjadi faktor pendorong pelajar melakukan kesalahan disiplin. Ini terbukti apabila berdasarkan kajian yang telah penulis buat 90% pelajar yang melakukan kesalahan disiplin mempunyai masalah keluarga atau dengan kata lain keluarga mereka bermasalah.

Contohnya ibu dan ayah mereka bercerai, sering bergaduh dan ayah mereka berkahwin lebih daripada satu dan gagal berlaku adil. Di dalam mengharungi masalah-masalah ini, akhirnya jiwa mereka memberontak dan mereka akan cuba memaparkan pemberontakkan mereka dalam bentung pelanggaran undang-undang disiplin sekolah.

Bagi ibu dan ayah mereka bercerai, ternyata mereka tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya dan akibatnya jiwa mereka sentiasa ingin memberontak, jadi mereka memilih untuk melanggar peraturan disiplin agar mereka mendapat perhatian.

C. Kawan/Sahabat Handai

5% Daripada pelajar yang melakukan kesalahan disiplin didorong oleh kawan atau sahabat handai, ini adalah kerana mereka akan lebih selesa berkongsi sesuatu dengan rakan mereka berbanding dengan keluarga mereka sendiri.

Jadi tidak hairanlah, sekiranya pelajar akan terpengaruh dengan hasutan dan godaan daripada kawan atau sahabat mereka. Contohnya seperti merokok, sebab itu ada pelajar yang mula merokok disebabkan pengaruh rakan.

D. Guru Sekolah

Pelajar zaman sekarang sudah berbeza dengan pelajar sekolah di zaman yang lepas, cara pemikiran mereka berbeza, mengendalikan mereka lebih baik menggunakan pendekatan psikologi berbanding pendekatan kekerasan. Tidak sama dengan pelajar dulu yang kebanyakkan belajar dengan pendedekatan kekerasan yang diberikan oleh guru termasuk jugalah penulis.

Moral seorang guru juga diambil kira oleh pelajar sekolah zaman kini, satu fakta yang belum diketahui ialah 80% pelajar ponteng kelas dan sekolah disebabkan oleh guru sekolah itu sendiri, lazimnya guru tersebut gagal menunjukkan moral yang baik sebagai seorang guru contohnya semasa P&P seseorang guru itu kerap menyumpah seranah pelajar, ini menyebabkan pelajar tertekan dan mengambil keputusan untuk ponteng kelas ataupun sekolah.

Berdasarkan faktor-faktor yang penulis tonjolkan di atas, marilah bersama-sama kita bermuhasabah diri dan memikirkan jalan terbaik di dalam menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah. Fikir-fikirkanlah.
Enhanced by Zemanta

0 comments:

Post a Comment